Pages

Wednesday, January 16, 2013

"Aku Terima Nikahnya.."




Hakikatnya, inilah maksud nikah yang sebenar. Buat lelaki-lelaki yang bakal bergelar suami, anda akan menerima ‘saham’ dari amal isteri anda, sama ada amal baik atau buruk. Jika baik amal isterimu, maka pahala dan syurga adalah ganjaran untukmu. Namun, seandainya buruk amal isterimu, maka dosa dan neraka adalah ganjaran paling layak buatmu. Lihat, betapa beratnya tugas yang dipikul oleh seorang lelaki bernama suami. Perlu mendidik dan membimbing bukan sahaja isteri, bahkan ahli keluarga yang lain juga agar sentiasa berada di atas jalan yang Allah redha untuk menuju ke syurga Allah SWT. Sepertimana firman Allah SWT dalam surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar dan keras, yang tidak derhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”

-Surah at-Tahrim ayat 6-

Walau bagaimanapun, diri ini agak kecewa apabila ada insan yang memberikan respons yang agak tidak membina setelah membaca petikan definisi nikah tersebut.

“seram ni... tak jadi kahwin la macam ni...”

        Seharusnya, kata-kata dalam petikan tersebut membakar semangat untuk memperbaiki diri ke arah yang diredhai Allah dan berusaha memilih bakal isteri yang baik dan solehah. Solehah tidak semestinya bertudung labuh atau berniqab. Bak kata Ustaz Azhar Idrus, seorang wanita yang terpelihara auratnya dan berakhlak baik walaupun tidak bertudung labuh dan tidak berniqab sebenarnya sudah terkategori dalam ciri-ciri wanita solehah. Cuma perlu digilap lagi agar menjadi lebih baik dan sentiasa memelihara aurat secara istiqamah serta menjaga maruah diri. Seandainya si suami mahu isteri bertudung labuh, suami perlu menyatakan hasratnya dan memberi dorongan kepada isteri untuk berubah ke arah yang lebih baik dari semasa ke semasa. Permintaan suami yang sebegitu sebenarnya sudah terkategori dalam pentarbiyahan isteri ke arah yang Allah redha. Tidak mengapalah. Mungkin dia masih dalam usaha mengislah diri. Berbaik sangka itu perlu dalam dunia dakwah dan tarbiyah. Moga Allah meniupkan ruh hidayah ke hati individu-individu yang berfikiran sedemikian agar memahami konteks Islah diri yang sebenar dan memahami mesej yang ingin disampaikan di dalam petikan tersebut. ^_^

         Dalam menuju ke arah keredhaan Allah, kita perlu sentiasa berusaha mengislah dan mengkoreksi diri, tidak kira lelaki mahupun wanita. Kita perlu sentiasa menampal lubang kecacatan yang ada pada diri agar ruh dan cahaya mahmudah sentiasa memenuhi ruang hidup kita untuk menjadi insan yang Kamil. Jadi, pelaksanaan Islam dalam diri dan hidup seorang muslim perlu dilaksanakan secara holistik(menyeluruh). Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman. Masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh. Janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan. Kerana sesungguhnya dia adalah musuh yang nyata bagimu.”

-Surah al-Baqarah ayat 208-

Ya! Melaksanakan Islam perlu menyeluruh dan kita sebagai hamba perlu menelusuri kelemahan diri dari segenap aspek agar kelemahan-kelemahan tersebut dapat kita tampal dengan nilai-nilai Islam yang sarat dengan mesej-mesej dakwah yang akan disampaikan kepada umat manusia yang lain, sama ada melalui perbuatan, percakapan atau penampilan seseorang. Equilibrium(keseimbangan) nilai-nilai Islam dalam diri individu muslim perlu sentiasa dijaga demi memastikan Islam sentiasa hidup dalam diri dan jiwa umat Islam. Hal ini kerana nilai-nilai Islam yang terkandung dalam diri seseorang secara tidak langsung mengislah diri manusia lain yang berada di sekelilingnya untuk berubah dan belajar menjadi muslim yang mukmin.

         Oleh itu, buat bakal-bakal suami di luar sana, berusahalah mulai dari sekarang untuk belajar menjadi muslim yang berakhlak mulia dan berusaha menambah ilmu agama di dada sebagai bekalan di alam bahtera rumahtangga untuk mendidik diri, isteri dan anak-anakmu nanti, dan juga sebagai bekalan di alam akhirat nanti. Seandainya hati masih berat untuk menuju ke arah pengislahan diri dan pemantapan ilmu agama, maka berdoalah dari sekarang agar Allah mengurniakan hidayah & kekuatan untuk mengislah diri ke arah yang lebih baik. Ingatlah wahai para lelaki yang bakal atau sedang memegang title suami, tugas dan tanggungjawabmu sebagai suami dan ayah amat berat kerana segala amal perbuatan isteri dan anak-anakmu akan dihisab di Hari Perhitungan nanti. Jika amalan mereka baik, maka syurga menantimu. Tetapi, jika amalan mereka buruk, maka nerakalah bagimu dan pada ketika itu, menyesal sehingga mengeluarkan airmata darah sekalipun sudah tiada gunanya.

Wallahu a’lam.

-Together To Jannah! ^_^-

No comments:

Post a Comment